Tuesday, December 22, 2009

Titian Nabi

Sebuah kisah yang mengisahkan seorang gadis remaja belasan tahun, Zahratul Jamilah, yang cantik tetapi jari manis tangan kirinya kudung akibat dihempap dahan pokok beberapa tahun lalu. Ketika itu, kelasnya iaitu kelas murid 6 tahun, dan kelas murid tahun 3 mengadakan lawatan di sebuah taman. Seorang budak lelaki tahun 3 memanjat sebatang pokok. Apabila mendapati dahan yag didudukinya hampir patah, dia cepat-cepat turun. Zahra lalu di bawah pokok tersebut dan dahan jatuh atas tangannya. Budak lelaki tadi, Fauzan Attar, benar-benar rasa bersalah dan berjanji kepada dirinya bahawa suatu hari nanti dia akan mencari budak perempuan itu dan melidunginya. Zahra yang kini sudah berada di sekolah menengah, bersahabat baik dengan Aisyah yang mempuyai abang bernama Malik. Malik bersahabat dengan Attar. Pada suatu hari, tanpa disengaja Zahra dan Attar kembali bertemu dalam sebuah majlis ilmu. Attar menceritakan bagaimana dia boleh mengenali Zahra di taman kemalangan itu berlaku. Sejak itu, mereka mencintai satu sama lain tetapi disembunyikan kerana malu dan iman. Mereka berhubung melalui surat. Dalam salah satu surat mereka, Attar mengajak Zahra menjadi kekasihnya dan dengan bahasa yang penuh kiasan, Zahra bersetuju. Suatu hari, Zahra mengajak Attar ke rumahnya. Mallawang, ayah Zahra, merestui hubungan mereka tetapi tetap ada batasannya. Attar terpakasa meninggalkan Zahra selama 4 tahun kerana dia perlu ke Kaherah untuk menyambung pelajarannya. Banyak dugaan yang harus ditempuh Attar dan Malik di sana. Attar yang sebenarnya mendapat tajaan tetapi tajaannya ditarik balik. Mereka ditipu pula oleh senior. Duit mereka lesap ditipu oleh senior tersebut. Kadang kala mereka harus ikat perut kerana ketiadaan makanan tetapi apabila mereka ditimpa kesusahan, ada saja yang datang menolong. Setelah 4 tahun di Kaherah, Attar pulang dengan kejayaan. Cintanya terhadap Zahra tetap dijaganya selama berada jauh dari Zahra. Kini tiba masanya Attar mengajak Zahra ke rumahnya dengan ditemani Aisyah. Ibu Attar sangat suka kepadanya tetapi disebabkan Attar dijaga oleh ibu saudaranya dari kecil hingga dewasa, dia berhak menerima atau menolak Zahra. Sungguh malang bagi Zahra. Ibu saudara Attar tidak menerimanya malah mengeji dan menghinanya hanya kerana dia kudung satu jari. Zahra berlari pulang sekuat hatinya. Dengan tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Attar tidak berdaya hendak menahannya kerana ditahan ibu saudaranya. Zahra jatuh pegsan sewaktu sedang berlari. Aisyah panik. Dia membawa Zahra pulang. Sejak itu Zahra menderita dan sengsara. Dia tidak berdaya melawan perasaannya. Pada suatu hari ayah angkatnya yang merupakan seorang ustaz menasihatinya agar lebih mencintai Allah mengatasi segalanya. Sejak itu Zahra berubah. Dia lebih banyak menggunakan waktunya untuk beribadat. Suatu hari, dia, ibunya dan Aisyah menunaikan haji. Zahra khusyuk melakukan ibadahnya sehingga pada suatu hari mereka bertemu dengan Malik yang masih lagi belajar di Kaherah. Oh! Rindunya Aisyah dengan abangnya. Malik datang membawa wasiat daripada Attar. Rupanya Attar telah melarikan diri ke Afghanistan. Dia juga menderita seperti Zahra. Dia menasihati Zahra agar melupakannya dan mengahwini orang lain. Dia juga memberitahu bahawa ketika Zahra sedang membaca surat itu, mungkin dia sudah tiada lagi di dunia ini. Zahra kembali menangis. Sejak membaca surat itu, Zahra kembali sakit malah sakitnya semakin teruk dan keadaannya merisaukan ibunya dan Aisyah. Namun begitu, Zahra sentiasa menyebut Allah. Akhirnya Zahra meninggal di situ. (Kisah ini telah diceritakan oleh seorang lelaki kepada seorang lelaki lain dalam sebuah kapal terbang. Setelah ceritanya habis barulah lelaki yang mendengar cerita memperkenalkan dirinya yang bernama Farid. Dia bertanyakan kepada lelaki yang bercerita itu namanya. Lelaki itu  berkata sambil memegang tangan isterinya "Fauzan Attar. Saya Fauzan Attar dan ini isteri saya, Aisyah". Rupanya Attar telah koma selama 5 bulan sewaktu dia bertempur di Afghanistan dan dia telah dihantar pulang ke Indonesia dan mengahwini Aisyah, adik sahabatnya.